PENDAHULU semasa Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menandatangani empat pemain baharu pada jendela perpindahan pertengahan musim ketika ini.
Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim, Alistair Edwards berkata kemasukan pemain baharu itu bakal menambah lagi kekuatan pasukan itu bagi menghadapi saingan musim ini.
“Dua pemain luar negara dan dua pemain tempatan akan menyertai skuad dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook JOHOR Southern Tigers yang dimuatnaik pada Isnin.
Tempoh pendaftaran kedua Liga Malaysia 2022 telah dibuka bermula 28 Mei hingga 24 Jun ini.
Ketika ini skuad Harimau Selatan berada di landasan tepat untuk meraih kejuaraan Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut dan menerajui takhta liga dengan memperoleh 16 mata setelah beraksi enam perlawanan.
Pasukan bimbingan Benjamin Mora juga berada di pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia.