SELEPAS berehat panjang dengan tidak menyertai beberapa kejohanan besar termasuk Sukan Komanwel Birmingham 2022 baru-baru ini, Lee Zii Jia jelas mengotakan janjinya apabila mudah menumpaskan Brice Leverdez dari Perancis pada aksi pembukaan Kejohanan Badminton Dunia pada Isnin.

Dalam aksi yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo, Jepun itu, Zii Jia hadir ke gelanggang umpama harimau kelaparan apabila jelas mendominasi setiap sudut permainan.

Set pertama, Zii Jia berada pada kelas tersendiri dengan mengawal setiap sudut gelanggang, turut dihujani dengan deretan smash dan pukulan drop yang begitu tepat sekaligus berjaya menang set pertama 21-9.

Lee Zii Jia nyata tampil pada kelas tersendiri berdepan pemain Perancis, Brice Leverdez

PAda set kedua, pemain berusia 24 tahun itu tampil dengan corak permainan pantas dan kerap memaksa lawan melakukan kesilapan sekaligus berjaya menang mudah 21-13

Jaguh perseorangan  negara ini juga memukau penonton apabila sesekali melakukan aksi ‘backhand smash’ kencang yang membuat peminat badminton di stadium terpesona melihat aksi kelas dunianya.

Zii Jia turun umpama harimau kelaparan dan memukau penonton di Gimnasium Metropolitan Tokyo, Jepun

Kini pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu tampil dengan fizikal yang lebih berotot dan sasa. Ianya dilihat banyak mempengaruhi pukulan smash dan pertahanan yang dapat dilakukan dengan lebih kemas.

Zii JIa berdepan laluan mudah apabila bakal bertemu pemain Portugal, Bernardo Atilano yang kurang ternama, dalam pusingan kedua esok dan dijangka akan lolos ke pusingan ketiga jika hadir dengan persembahan cemerlang.