MENJELANG Kejohanan Dunia BWF di Paris minggu depan, Menteri Belia dan Sukan merangkap Pengerusi Road To Gold (RTG), Hannah Yeoh menegaskan bahawa prestasi atlet badminton negara dalam kempen itu tidak diukur berdasarkan pungutan pingat semata-mata, sebaliknya penilaian utama ialah kedudukan ranking dunia.

Katanya, KPI RTG telah ditetapkan berlandaskan sasaran dua tahun untuk menilai konsistensi pemain dalam kalendar antarabangsa, sekali gus memberi masa secukupnya kepada atlet untuk memperbaiki kedudukan masing-masing.

Hannah Yeoh menghadiri Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Negara ke SEA Deaf Games 2025 di Auditorium KBS, petang Isnin.

“KPI kita bukan pada kejohanan, tetapi pada ranking dunia. Sebab itu RTG beri tempoh dua tahun untuk menilai kedudukan mereka. Setakat ini, atlet RTG dipantau rapat oleh Istitut Sukan Negara (ISN) dan untuk badminton saya lihat tiada masalah besar,” jelasnya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Negara ke SEA Deaf Games 2025 di Auditorium KBS, petang Isnin.

Namun Hannah turut mengingatkan cabaran sebenar pemain badminton adalah jadual kejohanan yang terlalu padat hingga boleh menjejaskan kecergasan. Beliau berharap pemain RTG kekal bebas daripada kecederaan kerana itu merupakan faktor terbesar yang boleh merencatkan keseluruhan program.

“Saya hanya berdoa mereka tidak alami kecederaan, sebab kecederaanlah yang boleh ganggu perjalanan RTG,” katanya.

Dengan tekanan tinggi dan tumpuan besar diletakkan pada kontinjen negara, Kejohanan Dunia di Paris dilihat bukan sahaja sebagai medan memburu kejuaraan, tetapi juga ujian terhadap daya tahan mental serta fizikal pemain Malaysia yang berada dalam radar RTG menjelang Sukan Olimpik 2028.