AKSI sukan pembuka tirai tahun 2025 bermula dengan PETRONAS Terbuka Malaysia yang bakal berlangsung pada 7 hingga 12 Januari ini di Axiata Arena.

Paling menarik sebanyak 88 siaran langsung bakal dihidangkan kepada seluruh peminat badminton menerusi saluran Okey, Sukan RTM dan penstriman langsung RTMKlik.

Kejohanan bertaraf Super 1,000, iaitu tingkat tertinggi dalam Kalendar Jelajah Dunia, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu, berjaya menghimpun barisan pemain ranking teratas dunia ke Kuala Lumpur.

Kesemua pemain Top 10 perseorangan lelaki diketuai Shi Yu Qi (China), Anders Antonsen (Denmark), Jonatan Christie (Indonesia), Viktor Axelsen (Denmark), Kunlavut Vitidsarn (Thailand) termasuk Lee Zii Jia (Malaysia) mengesahkan penyertaan kali ini.

Perseorangan wanita No.1 dunia dari Korea Selatan, An Se Young bakal meneruskan perseteruan dengan dua pemain Chinq, Wang Zhi Yi dan Han Yue, selain jaguh Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung serta juara remaja dunia dari Jepun, Tomoka Miyazaki yang kini melonjak ke tangga keenam dunia.

Dalam beregu lelaki, perebutan gelaran pasti terarah kepada dua beregu utana negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang berada di ranking ketiga dunia serta Aaron Chia-Soh Wooi Yik (5).

Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Mereka bakal berdepan cabaran getir daripada pasangan No. 1 dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skarup Rasmussen, Liang Wei Keng-Wang Chang dari China (2) serta padangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (4) selain gandingan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty (7).

Tunpuan dalam beregu wanita pula terarah kepada sejauh mana kemampuan wakil negara, Pearly Tan-M Thinaah (3) dalam menangani cabaran jaguh China, Liu Sheng Shu-Tan Ning (1) dan pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee (2).

Dalam beregu campuran pula, dua wakil negara berada dalam kelompok lapan pemain pilihan, iaitu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (3) dan Goh Soon Huat-Shevon Lai (4).

Mereka berdepan tugas getir memburu gelaran dengan kehadiran pasangan No.1 dunia, Zheng Yan Zhe-Huang Dong Ping dan No.2, Jiang Zhen Bang (China).

Kejohanan bertaraf Super 1,000 ini menawarkan hadiah kemenangan keseluruhan RM6.525 juta (AS$1.450 juta).