PERSEKUTUAN Badminton Dunia (BWF) mengumumkan peningkatan besar hadiah kemenangan Jelajah Dunia apabila kejohanan Super 1000 kini menawarkan AS$2 juta (RM7.86 juta) bermula kitaran 2027 hingga 2030, sekali gus melonjakkan nilai profesional sukan itu.

Pengumuman itu dibuat seiring pelancaran struktur baharu Jelajah Dunia BWF membabitkan 36 kejohanan yang disusun lebih kemas dan kompetitif merentasi enam tahap utama.

Dalam kenyataan di laman web rasminya, BWF menjelaskan penstrukturan semula ini adalah sebahagian daripada “pelan berani untuk masa depan badminton” yang menekankan pertumbuhan mampan dan ganjaran setimpal kepada pemain.

Struktur baharu itu menampilkan Final Jelajah Dunia di kedudukan tertinggi, diikuti lima kejohanan Super 1000, lima Super 750, sembilan Super 500, lapan Super 300 dan lapan Super 100 yang kini disepadukan sepenuhnya.

Selain Super 1000, hadiah Super 750 dinaikkan kepada AS$1.1 juta (RM4.32 juta), Super 500 kepada AS$560,000 (RM2.20 juta) Super 300 kepada AS$290,000 (RM1.14 juta) dan Super 100 kepada AS$140,000 (RM550,792).

Menurut BWF, peningkatan hadiah merentasi semua tahap ini bertujuan “memastikan ekosistem Jelajah Dunia lebih menarik, adil dan berdaya saing untuk pemain di semua peringkat.”

Dalam masa sama, BWF turut mengesahkan peningkatan 100 peratus perlawanan terbitan televisyen bagi semua kategori sebagai usaha memperluas liputan global.

Langkah agresif itu dijangka memberi impak besar kepada pemain, penaja dan peminat, sekali gus mengukuhkan Jelajah Dunia BWF sebagai antara siri sukan paling bernilai di dunia.