KERJASAMA antara pemain sehingga bergerak sebagai satu unit menghadapi kempen Piala Sudirman 2025, menjadi pengalaman paling berharga buat perseorangan lelaki, Leong Jun Hao.

Menurutnya, biarpun cabaran skuad negara terhenti di suku akhir selepas tunduk kepada China 3-0, setiap pemain meraih pengalaman yang boleh dimanfaatkan.

“Sebagai kapten buat kali pertama, kami berkerja, berlatih dan bermain sebagai satu pasukan!” kata Jun Hao kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Meskipun gagal menghadiahkan mata buat pasukan pada perlawanan suku akhir itu, Jun Hao yang tewas 6-21, 14-21 kepada Shi Yu Qi berpuas hati dengan prestasinya.

“Sebenarnya perancangan saya kurang menjadi dalam gelanggang hari ini termasuk ada kekangan ketika perlawanan.

“Pada set kedua, saya paksa diri dan cuba lebih agresif tetapi tidak berjaya untuk konsisten.”