SEOUL Phoneix FC, kelab dari Korea Selatan yang akan berpangkalan di Lembah Klang untuk musim 2025/2026 Liga A1 Semi Pro dijangka mampu menambah tahap kompetitif saingan liga kedua tertinggi tempatan selepas Liga Super.
Pengerusi badan pentadbir liga Amateur Football League (AFL), Datuk Wira Yusoff Mahadi percaya penyertaan Seoul Phoneix mampu memberi kesan positif dan kelainan dalam Liga A1 akan datang berbanding saingan musim-musim sebelum ini.
“Mereka (Seoul Phoneix FC) ini adalah seperti Albirex Nigata dari Jepun yang bersaing dalam saingan Liga S Singapura dan muncul antara kelab terbaik di liga tersebut. Jadi saya amat berharap mereka mampu membariskan pemain yang berkualiti pada penyertaan pertama mereka,” kata Yusoff.
Namun, Phoneix Bersama dengan dua lagi pasukan iaitu Guar Syed Alwi dan Kedah Darul Aman hanya diberikan kelulusan bersyarat untuk berrsaing dengan sembilan pasukan lain bagi menjadikan jumlah pasukan layak bersaing ketika ini sebanyak 12 pasukan.
“Bagi pasukan seperti Phoneix, hanya terdapat beberapa syarat teknikal untuk mereka penuhi seperti memastikan pihak pengurusan di sini (Lembah Klang) dan mereka diberi tempoh 10 hari dari 6 hingga 10 Jun untuk menyelesaikannya dan saya percaya tiada masalah buat mereka melakukannya.
“Jika dilihat kepada senarai pasukan musim baru ini, saya yakin bilangan pasukan yang mungkin berdepan masalah kewangan akan berkurangan. Bilangan pasukan yang layak beraksi juga mungkin bertambah jika terdapat lagi kelab yang meraih kelulusan,” tambah Yusoff.
Selain Phoneix, Guar Syed Alwi dan Kedah Darul Aman, pasukan lain yang layak beraksi ialah Armed Forces FC, Manjung City FC, Imigresen FC II, Johor Darul Takzim II, Selangor FC II, Kelantan WTS FC, Kedah FA, Machan FC, Kelantan Red Warriors,Bunga Raya FC, Malaysian University dan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).
Musim ini juga menyaksikan setiap pasukan dibenarkan menyenaraikan tiga awang import dalam pasukan masing-masing kecuali Phoneix, yang akan hanya memberisan kesemua pemain dari Korea Selatan.