Select Page

Darren Lok yakini kombinasi dua generasi skuad Harimau Malaya

Darren Lok yakini kombinasi dua generasi skuad Harimau Malaya

PENYERANG berbisa Petaling Jaya City FC (PJ City FC), Darren Lok menjelaskan pasukan kebangsaan kali ini bakal tampil dengan kombinasi beberapa pemain muda dan senior.

Jelasnya, dia tetap mempunyai kepercayaan dengan beberapa pemain muda yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan serta berharap ruang komunikasi antara pemain senior dan muda dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Pasukan kebangsaan sangat berlainan dengan skuad sebelum ini. Saya mempunyai kepercayaan kepada mereka. Tentu ada sebab mereka dipanggil kerana mereka bermain dengan kelab masing-masing. Kita mempunyai banyak masa untuk bermain dan membina hubungan dengan pemain baharu,” katanya sebelum sesi latihan di Wisma FAM , Kelana Jaya.

Biarpun ia pasti mengambil masa buat pemain muda mengikuti taktikal yang diterapkan jurulatih dari Korea, Kim Pan-gon ke dalam skuad , namun melihat kepada sesi latihan pertama, pemain dilihat sangat teruja dalam mempersembahkan permainan terbaik mereka dalam sesi latihan.

“Kesemuanya sangat baharu bagi mereka. Sudah tentu, ia akan mengambil masa bagi mereka untuk mengikuti cara permainan jurulatih baharu, tetapi mereka sangat teruja untuk beraksi,” jelasnya.

Dalam pada itu, penarikan diri kelab PJ City FC dalam saingan liga musim hadapan sedikit sebanyak merencatkan peluangnya untuk terus mendapatkan minit permainan.

Dengan panggilan bersama skuad kebangsaan, ia dilihat medan terbaik buat Darren Lok menambahkan minit permainannya sebagai pemain professional.

“Ia sangat penting kerana kita ada dua perlawanan persahabatan tersebut. Kita boleh lakukan kesemuanya semasa sesi latihan. Untuk sebahagian pemain, termasuk diri saya, sangat penting untuk kembali mendapatkan minit permainan,”ujarnya.

Baginya, yang terpenting buat ketika ini adalah memastikan dia dapat mengekalkan kecergasannya untuk membantu skuad kebangsaan dalam apa sudut yang termampu.

“Saya hanya harap dapat terus cergas untuk membantu negara . Jika saya menjaringkan gol, diharapkan ia berlaku tetapi apa yang penting, sumbangan saya dalam apa bentuk sekalipun sudah cukup baik,” dedahnya.

ARTIKEL BERKAITAN : Darren gembira dapat jaringkan gol depan Kim Pan-gon

Video Terkini

Loading...