PEMERHATI Sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli mengucapkan salam kejayaan kepada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang dipilih sebagai Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) dalam majlis undian yang berlangsung di Gulf Convention Centre, Manama, Bahrain pada Rabu.

Jelasnya, kejayaan Hamidin itu sangat diharapkan bagi merancakkan lagi sukan bola sepak negara supaya lebih maju.

“Kejayaan Hamidin pasti akan memberi lebih suara Malaysia dalam usaha untuk membangunkan sukan bola sepak di rantau sebelah sini terutama dengan idea-idea baru yang menarik Fifa untuk memberikan dana serta projek-projek khas yang boleh dilaksanakan nanti,” katanya kepada FLASH SUKAN.

 

 

 

Pekan menilai kemenangan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) juga sebagai simbolik meneruskan kesinambungan pemimpin terdahulu dari Malaysia.

“Ini juga satu ujian besar kepada pengiktirafan atas kehebatan seseorang pemimpin dari Malaysia seperti yang diperakukan kepada pemimpin terdahulu seperti Lee Ki Siong, Tan Sri Hamzah Abu Samah dan Al Sultan Abdullah sebelum ini.

“Apa pun sumbangan besar Malaysia dengan tersergamnya pejabat AFC di Kuala Lumpur sejak tahun 90-an dapat mencerminkan wajah negara ke mata dunia.

“Calon-calon pemimpin yang bertanding dari Qatar, Asia Timur, Arab Saudi, Jepun dan Korea pada semalam juga dilihat cukup hebat,” jelasnya.