SELEPAS 17 tahun menanti, India sekali lagi diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Badminton Dunia apabila New Delhi dipilih sebagai lokasi penganjuran edisi 2026 pada Ogos tahun depan.
Kali terakhir kejohanan berprestij itu berlangsung di India adalah pada 2009 di Hyderabad, menjadikan edisi kali ini sebagai detik penuh nostalgia dan dinanti-nantikan peminat badminton negara tersebut. Malah, ia juga menandakan kembalinya kejohanan ke benua Asia selepas kali terakhir berlangsung di Nanjing pada 2018.
Pengumuman rasmi dibuat ketika majlis penutup Kejohanan Dunia 2025 di Paris yang turut dihadiri Presiden Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Khunying Patama Leeswadtrakul bersama wakil Persekutuan Badminton Perancis dan Persatuan Badminton India (BAI).

Setiausaha Agung BAI, Sanjay Mishra berjanji India akan memberikan komitmen sepenuhnya bagi memastikan kejohanan di New Delhi berlangsung dengan tahap kemegahan dan kecemerlangan sama seperti yang dipamerkan di Paris.
“Kami berjanji India akan memberikan 100 peratus untuk mengekalkan piawaian kecemerlangan dan kehebatan yang dipamerkan di Paris. Kami tidak sabar untuk menyambut keluarga badminton dunia di Delhi,” katanya seperti dipetik India Today.
India kini semakin menyerlah di pentas dunia dengan gandingan Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty muncul penyumbang tunggal pingat negara pada edisi 2025 di Paris. Kehadiran kejohanan ini di bumi sendiri diyakini akan menjadi pembakar semangat buat barisan pemain mereka dalam misi mencipta sejarah lebih gemilang.