PASUKAN Piala Thomas negara menepati ramalan selepas mudah menundukkan Amerika Syarikat 5-0 dalam saingan kumpulan D yang dilangsungkan di Impact Arena, Bangkok, Thailand pada Selasa.
Perseorangan lelaki veteran, Liew Daren tidak berdepan masalah menewaskan Enrico Asuncion dengan keputusan 21-13, 21-16 yang hanya mengambil masa 37 minit untuk menghabiskan perlawanan.
Ng Tze Yong yang turun selaku perseorangan kedua berada pada kelas tersendiri selepas menundukkan wakil kedua dari Amerika Syarikat, Don Henley Averia juga straight set 21-11, 21-9.
Perseorangan ketiga negara, Aidil Sholeh turut meneruskan rentak cemerlang dengan kemenangan 21-16, 21-17 mengatasi perseorangan Amerika Syarikat, William Hu.
Beregu negara tampil dengan gandingan berbeza apabila menurunkan Chia Wei Jie digandingkan dengan Goh Sze Fei turut menang mudah 21-12, 21-8 berdepan Adrian King Sun Mar-Henry Tang.
Ong Yew Sin-Teo Ee Yi melengkapkan hari gemilang buat pasukan Piala Thomas negara setelah merekodkan kemenangan straight set 21-16, 21- 8 menentang gandingan Enrico Asuncion-William Hu.
Pasukan Piala Thomas negara bakal melengkapkan jadual kumpulan D bertemu musuh tradisi Jepun esok (Rabu) dalam perebutan tempat pertama dan kedua peringkat kumpulan.