INDONESIA sebuah pasukan yang stabil dan bukan mudah untuk diatasi, namun semuanya bergantung kepada aksi pemain pada hari kejadian.

Telahan itu dibuat Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Dato Misbun Sidek, selepas menyaksikan sendiri aksi skuad tetangga yang berada satu kumpulan dengan pasukan negara, pada Kejohanan Remaja Dunia, di Santander, Sepanyol.

“Secara keseluruhannya, Indonesia sebuah pasukan yang seimbang dan pencabar kuat untuk Piala Suhadinata.

“Pemain mereka terdiri daripada pemain pelapis kebangsaan,” kata Misbun, ketika diminta mengulas mengenai pertemuan terakhir saingan Kumpulan A antara Malaysia dan Indonesia, hari ini.

Menurut beliau, sejauh mana kemaraan skuad negara, bergantung kepada pertemuan dengan Indonesia dan enggan membuat andaian mengenai perjalanan skuad negara.

Pada perlawanan kedua peringkat kumpulan, pemain remaja kebangsaan mengatasi Latvia 5-0, dan semua pemain diturunkan tidak mencicir sebarang set.

Aksi skuad negara pada perlawanan kedua ini dilihat jauh lebih baik berbanding ketika menentang Sweden semalam.

Dalam pada itu, pilihan utama Indonesia yang juga juara bertahan berpasukan campuran pada 2019, turut mencapai kemenangan kedua selepas mengatasi Sweden juga 5-0.

Kemenangan pada perlawanan terakhir kumpulan menentang amat penting, bagi membolehkan skuad remaja negara layak ke suku akhir kerana jika tewas, skuad negara perlu beraksi pada penentuan tempat kesembilan hingga 16.