PENGARAH Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky memberitahu pasukan negara memiliki peluang untuk mencatat keputusan positif dalam acara beregu Kejohanan Sukan Komanwel 2022 Birmingham yang bakal membuka tirai pada 28 Julai ini.

Mengulas prestasi ‘yo-yo’ Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, dia berpendapat pasangan beregu tersebut hanya tewas kerana cara berfikirnya kerana prestasi mereka dan kebolehan mereka telah setanding dengan beregu pilihan yang lain.

“Kalau dari sejarah kita punya beregu, saya rasa mungkin peluang itu ada, seperti yang Wong Choong Han beritahu selepas Zii Jia tarik diri, tumpuan akan terarah kepada Tze Yong.

 

“Kita punya peluang dalam beregu cukup besar, ada beregu perempuan, beregu lelaki dan beregu campuran. Semoga pemain dapat meresap tekanan, lebih bersemangat, saya rasa kita boleh berikan sesuatu yang positif.

“Mereka kalah bukan dari segi mainnya, dari segi cara berfikirnya, mungkin saya akan lebih banyak berbicara dengan pemain. Cara berfikir akan mempengaruhi permainan mereka. Kita harap sebelum kejohanan bermula kita akan mengatasi masalah itu,” ujarnya kepada media.

Sementara itu, sasaran yang diletakkan dalam acara beregu untuk meraih emas adalah menerusi gandingan mantap Pearly Tan-M. Thinaah.

Selain itu, dia juga berharap Aaron dan Wooi Yik dapat memberikan aksi terbaik seperti M. Thinaah dalam acara beregu lelaki.

Manakala, dalam acara beregu campuran tumpuan terarah kepada gandingan Chan Peng Soon – Cheah Yee See.

“Untuk Komanwel, kita harus letak sasaran pastinya Pearly dan Thinaah dengan trend cukup positif, dari Piala Uber ke Terbuka Indonesia dan Masters Indonesia.

“Saya harap dia akan konsisten dan dapat bawa pulang pingat emas, untuk Aaron dan Wooi Yik, saya yakin dia ada kemampuan untuk pergi jauh seperti Pearly – Thinaah.

“Untuk beregu kita ada Peng Soon dengan Cheah Yee See yang sudah lebih berpengalaman. Saya harap semua tidak sakit, tidak mengalami kecederaan serius,” tambahnya.