SABAH FC mengorak langkah dalam menjana pendapatan tambahan buat kelab apabila menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) dengan Tourism Malaysia dan lapan syarikat pelancongan tempatan untuk menjalankan pakej percutian ‘Bola in The City’.

MOU itu telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Khairul Firdaus Akbar bersama lapan wakil syarikat pelancongan tempatan dan disaksikan oleh Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Sri Anil Jeet Singh Sandhu, dan Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Ednie Rahma Ab Rahim.

Menerusi program ini, peminat akan berpeluang mendapatkan sesi eksklusif bersama pemain menerusi pakej tiga hari dua malam yang menawarkan lawatan ke tempat-tempat menarik di Kota Kinabalu.

 

Selain itu, peminat juga dapat beramah mesra dengan pemain-pemain Sabah FC dan menonton perlawanan bersama legenda Sabah seperti Matlan Marjan dan Hassan Sani di Stadium Likas.

Khairul Firdaus jelas gembira dengan kerjasama ini yang dianggap bukan sahaja mampu menarik ramai penyokong ke stadium tetapi juga boleh membantu industri pelancongan tempatan secara tidak langsung.

“Inisiatif Tourism Malaysia dalam memulakan pakej sukan pelancongan dengan menggabungkan sukan bola sepak dan produk pelancongan bukan sahaja mampu menarik lebih ramai penyokong ke stadium malah ianya turut mampu membantu memulihkan industri pelancongan domestik.

“Program ini diharap dapat menggalakkan lebih ramai pencinta bolasepak untuk hadir menonton perlawanan di Likas sambil menikmati keindahan negeri Sabah melalui percutian yang telah dirangka dan ia juga salah satu cara untuk pasukan menjana pendapatan dan secara tidak langsung membantu industri pelancongan di Negeri Sabah,” katanya.

Sabah FC dibawah kendalian Datuk Ong Kim Swee menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga sekaligus mendapat tumpuan daripada penyokong yang sentiasa membanjiri Stadium Likas dan kini akan memulakan cabaran dalam Piala Malaysia yang bermula pada minggu hadapan.