SELANGOR FC mengambil langkah drastik apabila membawa masuk semula pemain pertahanan Singapura, Safwan Baharudin ketika jendela perpindahan kedua dan pengendali The Red Giants, Tan Cheng Hoe berharap kemasukannya dapat memberi kestabilan kepada pasukan.
Selangor yang dalam misi bangkit semula selepas tewas kepada Sri Pahang FC sebelum ini berada dalam keadaan yang baik dan mahu mengambil kesempatan bermain di laman sendiri untuk meraih tiga mata penuh ketika melayan kunjungan Penang FC pada Sabtu.
“Kita harapkan kemasukan Safuwan beri keseimbangan dan kestabilan dalam pasukan kerana dia adalah pemain yang versatil dan mampu bermain dalam pelbagai posisi. Selain itu, dia juga boleh membimbing pemain muda dan beri kestabilan dalam pasukan.
“Kami berlatih cukup baik dan ‘mood’ pasukan juga baik. Selepas kalah kepada Sri Pahang tempoh hari, moral pemain sedikit ‘down’ tetapi ini biasa dalam bola sepak dan saya tahu pemain dah bersedia untuk lawan Penang esok,” katanya.
Cheng Hoe juga menepis dakwaan bahawa dia akan melakukan perubahan besar dalam kesebelasan utama selepas tewas namun dia mahu pemainnya lebih fokus kepada tindakan penyudah di depan gawang jika mahu meraih kemenangan.
“Barisan kejurulatihan masih berbincang mengenai taktikal dan kekalahan lepas tidak menyebabkan kita lakukan perubahan drastik tetapi kami perlu tambah baik penyudah di depan gawang,” tambahnya.
Bekas pengendali kebangsaan itu juga memaklumkan bahawa Selangor bakal kehilangan dua tonggak import mereka, Yazan Al-Arab dan Richmond Ankrah yang mengalami kecederaan dengan Ankrah telah dinasihatkan untuk berehat antara empat ke enam minggu.
Sementara itu pengendali Penang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid pula menganggap mereka bakal berhadapan dengan gergasi yang tercedera tetapi Penang FC sudah bersedia untuk memberikan cabaran dan cuba membawa pulang tiga mata penuh dari Kelana Jaya.
“Selepas kalah, Selangor akan lebih garang untuk kembali raih kemenangan dan ini tidak baik buat kami tetapi para pemain sudah bersedia dan mahu buktikan mereka mampu lakukan sesuatu dan mahu mengutip tiga mata,” katanya.
Penang juga berhadapan masalah kecederaan dengan Giovanni Gomez dan penjaring terbanyak, Soony Saad terpaksa diketepikan dan berkemungkinan skuad Harimau Kumbang akan turun dengan pemain yang sama ketika menewaskan Kelantan FC.