KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Giorgio Pompili Rossi mengharapkan agar tiada kelab yang beraksi dalam saingan Liga Super menarik diri pada pertengahan musim.
Harapan itu dinyatakan oleh CEO baharu itu selepas melihat beberapa pasukan menghadapi masalah tunggakan gaji.
Menurut Giorgio, menarik diri daripada bertanding bukanlah jalan penyelesaian yang bagus bagi mana-mana pasukan.
“Memang ada isu membabitkan beberapa kelab. Sekarang, jika anda kata ada perlumbaan babitkan kelab untuk menarik diri pada pertengahan musim, buat masa ini (kita berharap) itu tidak berlaku. Kita menolaknya.
“Saya percaya tindakan menghukum pasukan termasuk membayar denda, itu bukan solusi kepada masalah. Itu cuma proses sebahagian daripada peraturan.
“Jadi, anda perlu mengikut beberapa langkah dan jika anda tidak mengikutnya, anda dikenakan penalti. Tetapi itu tidak akan menjadi solusi kepada seluruh proses sebelumnya,” katanya.
Pasukan Kedah antara pasukan paling kritikal ketika ini, dengan dikhabarkan gaji tidak dibayar kepada pemain lebih daripada dua bulan.
Pemain-pemain utama Sang Kenari telah memboikot latihan sepanjang minggu lalu sebagai tanda protes.