PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mahu menyelesaikan segera isu rundingan kontrak bersama Pearly Tan dan M Thinaah sebaik sahaja gandingan beregu wanita negara itu pulang dari Thailand minggu depan.

Timbalan Presiden 1 BAM, Datuk Seri V Subramaniam menjelaskan, satu pertemuan terakhir akan diatur bagi memaklumkan keputusan muktamad badan induk itu selepas pemain terbabit masih belum menandatangani tawaran yang dikemukakan.

“Kita sudah berbincang dan buat tawaran, tetapi mereka masih tidak menandatangani, malah beberapa kali datang semula dengan angka berbeza. Kita tidak mahu pemain jadikan BAM sebagai tebusan. Kalau tidak tegas, ia akan jadi penyakit dalam sistem,” kata Subramaniam, selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BAM, hari ini.

Timbalan Presiden 1 BAM, Datuk Seri V Subramaniam

Katanya, semua pemain lain sudah menerima dan menyelesaikan rundingan dengan baik kecuali Pearly-Thinaah, dan perkara itu turut dibawa ke mesyuarat Majlis BAM yang memutuskan agar tiada perubahan dibuat terhadap tawaran asal.

“Selepas ini, saya dan Datuk Kenny, dengan kebenaran presiden, akan panggil mereka untuk perbincangan akhir. Mungkin minggu depan selepas mereka pulang dari Thailand,” jelasnya.

Beliau turut membayangkan kemungkinan jumlah pendapatan pemain perlu didedahkan kepada umum pada masa depan bagi mengelakkan salah faham, seiring dengan amalan sukan profesional antarabangsa.