KERAJAAN Negeri Pulau Pinang menegaskan komitmen berterusan dalam memajukan pembangunan bola sepak negeri, selain menyatakan sokongan padu terhadap Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) dalam usaha memperkukuh dan memartabatkan sukan itu di peringkat negeri.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen, berkata pembangunan bola sepak bukan sekadar tertumpu kepada kejayaan di padang, sebaliknya berperanan sebagai medium penyatuan masyarakat serta pemangkin semangat perpaduan di semua lapisan rakyat.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri menyedari bahawa pembangunan bola sepak memerlukan sokongan berterusan dari aspek kelancaran pentadbiran, pelaksanaan program latihan yang sistematik, pembangunan akar umbi, peningkatan fasiliti serta penganjuran kejohanan berkualiti.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada FAP melalui Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) pada September 2024 bagi menyokong pelaksanaan program pembangunan bola sepak akar umbi secara terancang dan profesional.
Beliau memaklumkan sumbangan tersebut disalurkan secara berperingkat mengikut keperluan semasa serta justifikasi program yang dikemukakan oleh FAP dari semasa ke semasa.
Setakat Disember 2025, sebanyak RM60,000 telah disalurkan bagi menyokong penganjuran Liga-Liga Tempatan 2025 melibatkan Divisyen 1, 2 dan 3 yang berlangsung dari 15 Mei 2025 hingga 31 Mei 2026 di Pulau Pinang.
Selain bantuan kewangan, Kerajaan Negeri turut meluluskan pelupusan tunggakan bayaran sewaan Stadium Bandaraya Pulau Pinang bagi tempoh 1998 hingga 2016 berjumlah RM127,168.50, sebagai langkah meringankan beban kewangan FAP.
Daniel menegaskan sokongan yang diberikan bukan sekadar bantuan jangka pendek, sebaliknya merupakan pelaburan jangka panjang bagi memastikan bola sepak Pulau Pinang kembali mencatat pencapaian membanggakan serta melahirkan lebih ramai bakat muda berpotensi untuk mewakili negeri dan negara di masa hadapan.