PERAK FC berdepan hukuman pemotongan enam mata dan ancaman penyingkiran saingan liga seandainya masih gagal melunaskan gaji pemain dan pegawainya.
Hukuman itu tetap dilaksanakan serta-merta mulai 15 April ini mengikut tarikh yang ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam (gambar) berkata, Perak FC mempunyai baki tujuh hari melunaskan tunggakan gaji atau isu ni dibawa ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah (BOD) MFL untuk tujuan penyingkiran.
“Pemotongan enam mata terhadap Perak FC akan tetap dilaksanakan, atas kegagalan pemilik Perak FC, Impact Media and Communication (IMC) melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut tarikh yang telah ditetapkan MFL.
“Walaupun Perak FC telah dimiliki oleh pemilik baharu, pemotongan tetap juga dilaksanakan,” katanya.
Pada 1 April lalu Perak FC dipotong tiga mata secara serta merta oleh First Instance Body (FIB).
Hukuman itu dijatuhkan oleh FIB susulan kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan utama dan simpanan sehingga November 2021 berdasarkan Akuan Berkanun (SD) yang dihantar pasukan itu bertarikh 15 Disember.
Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah dalam laporan media mendedahkan pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa dengan hukuman pemotongan enam mata yang bakal dikenakan MFL.