GAGAL mendapatkan kemenangan berturut-turut, skuad hoki dalam dewan wanita akhirnya tersungkur setelah tumpas di tangan pasukan Kazakhstan, dengan keputusan 1-5 pada aksi ketiga Kumpulan A, Kejohanan Piala Asia Hoki Dalam Dewan.
Ketua jurulatihnya, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi sudah menjangka lebih awal tentang kehebatan pihak lawan dan dia terpaksa akur akan kekalahan pertama pasukannya, setelah ditewaskan oleh negara yang diakui hebat kerana pernah beraksi di pentas Piala Dunia dahulu.
Namun, aksi petang ini merupakan misi penting untuk skuad wanita merampas semula kemenangan pada aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Iran, demi melayakkan mereka ke peringkat separuh akhir Piala Asia 2024.

Antara aksi Malaysia menentang Kazakhstan pada Selasa.
“Kalah bukan pilihan yang pasukan mahukan. Kami tewas kepada pasukan yang lebih baik daripada kami dan pemain kami tidak bermain dengan baik berbanding Kazakhstan.
“Mereka juga masih melakukan kesilapan-kesilapan mudah dan tidak menterjemahkan kelebihan pukulan sudut penalti kepada jaringan. Kelemahan pada perlawanan ini perlu segera kami baiki menjelang pertemuan dengan Iran.
“Iran juga merupakan pasukan yang mampu memberikan aksi yang baik dan kami tidak boleh memandang mudah terhadap mereka.

Malaysia perlu menang menentang Iran pada petang ini supaya mara ke separuh akhir.
“Penting untuk kami meraih kemenangan pada perlawanan terakhir kumpulan petang ini bagi memastikan peluang kami cerah untuk ke separuh akhir. Pemain perlu memanfaatkan semua peluang untuk menjaringkan gol dan tidak boleh mengambil mudah pertemuan tersebut,” ujarnya selepas tamat perlawanan menentang Kazakhstan.
Dengan menyaksikan dua kemenangan dan satu kekalahan oleh Malaysia, kini skuad kendalian Rodzhanizam perlu meningkatkan usaha demi memburu kemenangan terhadap pasukan Iran, sekali gus dapat mara ke pusingan seterusnya.
Tambah lagi, kemenangan di Piala Asia ini amat penting buat skuad hoki dalam dewan wanita, untuk mengesahkan slot ke pentas Piala Dunia Hoki Dalam Dewan yang akan berlangsung di Croatia tahun depan.