KETUA Jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak menggesa para pemainnya untuk mengurangkan kesilapan individu jika ingin mencapai kemenangan pertama dalam Liga Super musim ini.

Kesilapan individu sekali lagi menghantui KL City apabila menghadiahkan dua penalti kepada Selangor FC yang menyaksikan skuad warga kota itu tewas 1-3 dalam aksi Derbi Lembah Klang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

“Pada mulanya perlawanan seimbang dan seperti yang kami jangkakan. Kami berjaya mendahului tetapi kemudiannya dua kesilapan individu memberikan sepakan penalti kepada Selangor dan menyukarkan pasukan.

“Mereka hanya menunggu kami melakukan kesilapan dan akhirnya kami dihukum dengan serangan balas pantas apabila kami hilang bola di bahagian tengah dan kami perlu segera kurangkan kesilapan individu ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Bojan turut mengakui skuadnya agak tempang apabila kehilangan lima pemain dalam kesebelasan utama dan tidak bersembunyi mengatakan mereka mungkin akan membawa masuk pemain baharu di jendela perpindahan kedua nanti.

“Jika musim lalu kami kehilangan penyerang tetapi musim ini kami kehilangan pertahanan ditambah pula dengan ramai pemain cedera. Apabila anda kehilangan lima pemain utama pastinya sukar namun begitu masih ada perkara baik yang diperolehi dalam aksi pada Jumaat.

‘Kami mungkin perlu menukar pemain ketika jendela perpindahan kedua untuk menguatkan lagi pasukan. Dua perlawanan terakhir adalah kesilapan kami dan hari ini kami tidak mempunyai konfiden dan terlalu ramai pemain berjalan di tengah dan kami perlu perbaiki keadaan ini,” tambahnya.

Misi KL City mencari kemenangan sulung akan diteruskan pada Rabu apabila bakal menyambut kehadiran Sabah FC di laman sendiri dalam satu lagi aksi yang dijangka menarik perhatian penyokong bola sepak tempatan.