KETUA jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon menegaskan pasukannya tidak akan turun dengan corak bertahan semata-mata dalam aksi separuh akhir kedua ACC Shopee Cup menentang Nam Dinh FC di Vietnam, Rabu ini.
Selangor membawa bekalan tipis 2-1 selepas kemenangan pada aksi pertama minggu lalu hasil dua jaringan penyerang import, Chrigor Moraes di Stadium MBPJ.
Meskipun memiliki kelebihan agregat, Kim mengakui beliau masih belum boleh berasa selesa memandangkan Nam Dinh terkenal dengan rekod cemerlang di laman sendiri.
“Kami pergi dengan kelebihan satu gol, tetapi saya tidak boleh berasa selesa.
“Nam Dinh sangat kuat di tempat sendiri. Kami melihat semua perlawanan mereka di laman sendiri dan mereka memang pasukan yang kuat,” katanya.
Pengendali dari Korea Selatan itu menjangkakan kelab Vietnam berkenaan akan tampil lebih agresif pada aksi timbal balik demi memburu tempat ke final.
Bagaimanapun, beliau percaya Selangor juga mempunyai kekuatan tersendiri untuk memberi ancaman balas menerusi jentera serangan pasukan.
“Kami menjangkakan mereka akan menyerang kami, tetapi mereka juga perlu tahu kami mempunyai ramai penyerang dan pemain sayap yang bagus.
“Kami juga boleh menyerang mereka,” katanya lagi.
Kim turut memberi bayangan Selangor tidak akan hanya bertahan untuk mempertahankan kelebihan agregat sebaliknya mahu terus bermain secara positif di Stadium Thiên Trường nanti.
Beliau dalam masa sama berharap perlawanan tersebut akan menjadi aksi menarik buat penyokong Red Giants yang mengikuti perjalanan pasukan dalam kejohanan itu.
Kemenangan Selangor pada aksi pertama minggu lalu juga merupakan kekalahan pertama Nam Dinh dalam kempen Shopee Cup musim 2025/2026.
Sebelum itu, juara V.League 1 tersebut mencatat empat kemenangan dan satu keputusan seri pada peringkat kumpulan untuk muncul juara Kumpulan B.