Select Page

Negeri Sembilan FC lancar pas bermusim serendah RM89 untuk penyokong

Negeri Sembilan FC lancar pas bermusim serendah RM89 untuk penyokong

 

KELAB Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) melancarkan jualan pas bermusim kepada para penyokong dengan harga serendah RM89 hingga RM2,000 bagi semua perlawanan melibatkan Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi musim ini.

Selain melancarkan jualan pas bermusim, NSFC juga telah menetapkan harga tiket untuk musim 2023 adalah RM30 untuk dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak bagi tempat duduk di bahagian Grandstand dengan jangkaan minimum 15 perlawanan di tempat sendiri dalam tiga kejohanan yang berlangsung.

Bagi tempat duduk terbuka pula harga yang telah ditetapkan adalah RM15 untuk dewasa dan RM9 untuk kanak-kanak dan oleh itu pembeli pas bermusim bakal mendapatkan diskaun hebat hampir 30 peratus berserta manfaat tambahan.

 

NSFC juga semakin bijak dalam menjana pendapatan buat kelab apabila kini turut menjual kotak korporat di stadium menerusi permintan khas dan dikhabarkan satu daripadanya sudah ditempah.

Selain itu, pihak kelab dan penaja rasmi pakaian musim ini, KELME juga ingin mengesahkan bahawa kedua-dua jersi baharu musim ini akan menampilkan ketiga-tiga warna negeri dalam rekaannya dengan jersi ‘home’ kekal berwarna merah manakala jersi ‘away’ berwarna kuning.

Turut diumumkan adalah majlis pengenalan pasukan Negeri Sembilan FC 2023 yang akan diadakan di GEMBOX Nilai pada 19 Februari 2023 sebelum perlawanan pertama NSFC menentang Sri Pahang FC pada 26 Februari 2023 di laman sendiri.

Negeri Sembilan berjaya menamatkan rekod tanpa kalah perlawanan pramusim Penang FC apabila berjaya menewaskan skuad Harimau Kumbang 1-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Bandaraya pada Sabtu.

Video Terkini

Loading...