MALAYAN Tigress berdepan misi hidup mati apabila perlu memastikan kemenangan menjadi milik mereka ketika berdepan Kemboja dalam aksi kedua Kumpulan A, Piala AFF Wanita 2024 di Vientiane.

Selepas tewas 0-1 kepada Indonesia pada aksi pertama, anak-anak buah Soleen Al-Zoubi tidak mempunyai pilihan lain kecuali menang untuk layak ke separuh akhir seterusnya menepati sasaran awal untuk muncul juara.

Soleen mengakui rasa ingin menang pada perlawanan menentang Indonesia tempoh hari telah mempengaruhi mental pemainnya hingga tidak dapat bermain dengan baik namun dia yakin perkara ini tidak akan berulang ketika bertemu Kemboja.

Soleen mahu pemain lupakan kekalahan dan fokus dalam mencari tiga mata

“Selepas kekalahan tempoh hari, para pemain sangat sedih tetapi ianya ada pro dan kontranya dimana mereka sememangnya mahukan kemenangan tetapi ianya juga tidak baik sekiranya kekalahan itu menjejaskan semangat para pemain kerana kita masih berpeluang untuk ke separuh akhir.

“Sudah tentu kami sedia mengambil risiko namun ianya bergantung pada keadaan di dalam perlawanan namun kami berharap dapat mendominasi serta menjaringkan gol dan tidak perlu mengambil risiko yang berlebihan.

“Kelemahan utama yang kami nampak adalah pemain tidak menterjemahkan apa yang dilakukan ketika latihan di mana ianya mungkin disebabkan beberapa perkara dari sudut mentaliti, fizikal, taktikal dan teknikal serta tekanan mahukan kemenangan menjejaskan sedikit mental para pemain,” katanya.

Lyana mahu bermain sebagai satu pasukan dalam mencapai misi layak ke separuh akhir

Sementara itu pemain tengah, Nur Lyana Soberi juga sedar yang pasukan perlu menyudahkan peluang yang dicipta bagi meredakan tekanan dan perlu bermain sebagai satu pasukan bagi memastikan mereka layak ke peringkat seterusnya.

“Kami wajib jaringkan gol untuk menang tetapi pada masa yang sama perlu memastikan pertahanan kekal utuh agar tidak dibolosi dan kami sudah menerapkan mentaliti menang kerana hanya selangkah sahaja lagi kami mahu ke separuh akhir.

“Kami juga perlu bermain sebagai satu pasukan dan bersabar terutama apabila mencipta peluang kerana percaya, gol akan hadir dan mengelakkan diri dari berasa tekanan,” jelasnya.

Tiga mata berhadapan Kemboja akan memastikan Malaysia mengekori Indonesia ke separuh akhir sebagai naib juara namun sebarang keputusan lain akam menyaksikan Malayan Tigress pulang hampa.