PERAK FC meneruskan rentak cemerlang dalam Piala Malaysia ke Liga Super apabila membenam cabaran Negeri Sembilan FC 1-0 dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sekaligus menambah tekanan buat anak-anak buah K. Devan.

Gol tunggal perlawanan oleh Luka Milunovic pada minit ke-51 sudah cukup untuk memberikan tiga mata penuh dan kemenangan kelima dalam Liga Super musim ini untuk meneruskan momentum kemenangan di bawah kendalian Yusri Che Lah.

Skuad The Bos Gaurus beraksi baik sejak awal permainan dengan seringkali melakukan serangan-serangan berbahaya tetapi dinafikan penyudah yang kurang mantap selain kekentalan Sikh Izhan di gawang Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan juga mempunyai beberapa peluang menarik tetapi pembuatan keputusan yang salah menyaksikan gawang Perak terselamat untuk kedudukan terikat tanpa jaringan pada babak pertama sekali gus memberikan keyakinan kepada barisan pertahanan muda Perak.

Bersambung babak kedua, Perak hanya memerlukan enam minit untuk di depan selepas Luka Milunovic mengambil kesempatan kelekaan barisan pertahanan Negeri Sembilan untuk menolak masuk bola hantaran lintang Luciano Guaycochea.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad Jang melancarkan serangan demi serangan tetapi seperti juga di babak pertama mereka dihampakan ketumpulan penyudah untuk kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan ini masih mengekalkan Perak di tangga ke-11 liga tetapi sudah menyamakan mata dengan Penang FC di tangga kesepuluh manakala Negeri Sembilan pula kekal di tangga kesembilan dengan 21 mata selepas berakhir 22 perlawanan.

Dalam satu lagi perlawanan Liga Super yang berlangsung serentak di Kota Bharu, Kelantan United berjaya memperolehi kemenangan ketiga musim ini selepas menewaskan Penang FC 1-0 hasil jaringan Dominik Balic untuk terus menambah duka Harimau Kumbang dengan kekalahan keenam berturut-turut.