JURULATIH PDRM FC, P. Maniam menilai pasukannya telah melepaskan gol mudah ketika beraksi dengan kelebihan 11 lawan 11 ketika tewas 2-3 kepada Selangor FC dalam perlawanan akhir pertama MFL Challenge Cup 2024-25 yang berlangsung pada Sabtu.
Menurut Maniam, walaupun mereka cuba memperbaiki keadaan, Sang Saka Biru tetap dibolosi pada aksi di Stadium MBPJ.
“Tetapi, sudah tentu Selangor adalah pasukan yang bagus. Mereka berjaya menjaringkan dua gol walaupun bermain dengan 10 pemain. Kami bangkit dengan kuat untuk menyamakan kedudukan 2-2 dan ia merupakan perlawanan yang sangat menghiburkan.
“Saya rasa penyokong juga menikmati perlawanan akhir ini, dan pasukan PDRM memberikan persembahan terbaik mereka. Namun, itu masih belum mencukupi kerana kami kekurangan kualiti berbanding lawan,” katanya selepas perkawanan.
“Saya melihat pemain bekerja keras dan memberikan segalanya. Inilah apa yang kami ada dan inilah apa yang kami mampu lakukan. Kami tidak boleh mengharapkan lebih, tetapi saya tetap bangga kerana mereka menunjukkan karakter dan sikap yang baik walaupun Selangor bermain dengan 10 pemain,” katanya.
Maniam turut mengakui bahawa Selangor memiliki kualiti yang berbeza, terutamanya dalam aspek transisi permainan mereka.
“Kami mempunyai peluang lain dalam perlawanan kedua nanti. Pemain perlu memahami bahawa mereka akan bermain selama 90 minit lagi dan harus segar serta fokus untuk menjaringkan gol. Ia bukan tugas yang mudah, tetapi bukan sesuatu yang mustahil. Kami perlu percaya kepada pemain,” ujarnya.
Shahrel Fikri (kiri) mencipta sensasi gol pertama PDRM FC ketika bertemu Selangor di Stadium MBPJ, malam tadi.
Pada masa sama, beliau juga mengakui pasukannya kurang mencipta peluang gol.
“Kami tidak terlalu banyak menyerang kerana perlu memastikan keseimbangan pasukan. Namun, pemain sudah memberikan persembahan terbaik mereka. Kami sedikit gembira dengan usaha mereka, tetapi tetap kecewa kerana tewas.
“Kami tahu Selangor pasukan yang hebat, tetapi tiada yang mustahil dalam bola sepak. Pemain perlu percaya pada diri sendiri dan mempercayai rakan sepasukan. Hanya dengan itu, mereka boleh bangkit lebih kuat,” katanya.
Maniam menambah bahawa dalam minit-minit terakhir perlawanan, PDRM FC mempunyai peluang baik untuk menjaringkan gol kemenangan, tetapi gagal menyempurnakannya.
“Kadang-kadang dalam bola sepak, perkara seperti ini terjadi. Pasukan lawan yang bermain dengan 10 orang berjuang lebih keras dan itu membantu mereka untuk menang. Kami perlu bersedia untuk perlawanan kedua pada hari Sabtu nanti,” tambahnya lagi.
Perlawanan timbal balik dijadualkan berlangsung pada 22 Februari hadapan.
FOTO : PDRM FC