PENGENDALI Kuala Lumpur Rovers, Wan Mustaffa Wan Ismail mengakui dia gembira apabila barisan pemainnya dapat memberikan tentangan sengit kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) walaupun terpaksa akur dengan kekalahan 0-3 pada perlawanan pertama Pusingan 16 Piala Malaysia 2024-2025.

Dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim itu, KL Rovers tewas menerusi jaringan hatrik Heberty Fernandes namun Wan Mustaffa yakin pasukannya mampu bangkit pada perlawanan kedua yang dijadualkan berlangsung pada 30 November nanti di gelanggang yang sama.

“Saya bersyukur kerana pemain telah bermain habis-habisan dan mengikut arahan taktikal dengan cuba bertahan di bahagian tengah dan serangan balas pantas. Saya juga ucapkan tahniah kepada barisan pertahanan yang dapat bertahan sehingga tamat perlawanan.

“Kita juga berjaya memberikan tentangan dan mencipta beberapa peluang tetapi sedikit terkilan gagal menyempurnakan peluang untuk membawa bekalan gol namun kami yakin masih berpeluang di perlawanan kedua dan akan tampil dengan corak permainan yang berlainan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Wan Mustaffa juga turut mengakui dia sedikit lega apabila melihat JDT menurunkan barisan pemain kedua dan bukannya pasukan utama sekaligus memberikan keyakinan tambahan buat pemainnya untuk memberikan saingan.

“Kami jangkakan JDT akan gunakan perlawanan ini sebagai latihan untuk mereka menyerang dan kami sudah bersiap menghadapi taktikal itu tetapi mereka menurunkan barisan kedua dan ianya mengurangkan sedikit tekanan kami.

“Ini terbukti apabila pemain dapat buktikan mereka mampu bersaing terutama pada minit-minit awal namun perlu diakui tahap JDT masih tinggi walaupun bukan pasukan utama terutama intensiti dan kecergasan mereka,” jelasnya.

Dia juga mewakili pengurusan KL Rovers mengucapkan terima kasih kepada layanan yang diberikan JDT kerana terpaksa menggunakan Stadium Sultan Ibrahim sebagai gelanggang sendiri ekoran pelbagai masalah yang melanda kelab berpangkalan di Kuala Lumpur itu.

“Terima kasih kepada JDT atas layanan yang diberikan termasuk padang latihan kelas pertama yang membolehkan kita membuat persiapan yang rapi untuk perlawanan ini. JDT sentiasa menjaga kebajikan pemain kerana itu adalah aset buat pasukan bola sepak,” ujarnya.