KONTROVERSI melanda kem Seoul Phoenix apabila kelab dari Korea Selatan itu didakwa tidak lagi menggunakan khidmat pemain negaranya sendiri dalam saingan Liga A1 Semi-Pro, sekali gus mencetuskan persoalan besar mengenai hala tuju sebenar pasukan berkenaan di Malaysia.

Dakwaan itu dibangkitkan ejen bola sepak Korea Selatan, Leo Jeong selepas beliau mendapati Seoul Phoenix menurunkan barisan pemain tempatan sepenuhnya ketika aksi menentang Perlis GSA FC, meskipun kelab tersebut beroperasi di bawah identiti Korea. Situasi itu mencuri perhatian apabila tiada seorang pun pemain Korea berada dalam senarai pemain, sesuatu yang disifatkan Jeong sebagai janggal dan mengecewakan.

“Ini pasukan Korea, tetapi tiada seorang pun pemain Korea!” katanya dalam satu hantaran di Instagram Story, sambil mendakwa semua pemain Korea telah ditamatkan kontrak susulan dua kekalahan besar berturut-turut yang dialami pasukan itu sebelum ini.

Menurut Jeong, kekalahan 8-0 yang dialami Seoul Phoenix dalam dua perlawanan berasingan menjadi titik tolak kepada keputusan drastik pengurusan kelab, dengan semua pemain Korea dikatakan pulang ke negara asal selepas kontrak mereka ditamatkan. Beliau turut menyifatkan situasi itu sebagai sesuatu yang memalukan buat komuniti bola sepak Korea Selatan.

“Pihak pengurusan, pengurus dan jurulatih pasukan Seoul Phoenix, yang semakin menjadi pasukan yang sangat memalukan di Malaysia, adakah mereka memulakan pasukan ini untuk tujuan ini?” katanya lagi.

Aksi terbaharu menentang Perlis GSA FC menyaksikan Seoul Phoenix sekali lagi dibelasah 8-0, keputusan yang terus menekan pasukan itu di carta liga apabila kini menghuni kedudukan ke-13 dengan 14 mata. Kekalahan berterusan itu hanya menguatkan lagi spekulasi mengenai krisis dalaman dan masalah pengurusan yang sedang melanda kelab berkenaan.

Sehingga kini masih belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak Seoul Phoenix bagi menjawab dakwaan ini, sekali gus meninggalkan lebih banyak tanda tanya tentang masa depan kelab itu dalam saingan Liga A1 Semi-Pro.

tamat