BINTANG Manchester City, Jack Grealish telah mengesahkan bahawa dia kini kembali cergas selepas hampir sebulan berehat akibat kecederaan yang turut menyebabkan beliau terlepas panggilan skuad England.

Grealish sebelum ini menarik diri daripada skuad Three Lions setelah mengalami kecederaan pangkal paha sejak akhir Oktober.

Pemain berusia 29 tahun itu juga tidak dapat beraksi dalam perlawanan Liga Juara-Juara menentang Sparta Prague pada penghujung Oktober lalu.

Jack Grealish telah mengalami kecederaan pangkal paha pada akhir Oktober

Walaupun begitu, pengurus sementara England Lee Carsley mengejutkan ramai pihak apabila tetap menyenaraikan nama Jack dalam skuad terakhir untuk perlawanan Liga Negara-Negara.

Hasil penilaian perubatan, Grealish kemudiannya menjadi salah seorang daripada sembilan pemain yang terpaksa menarik diri daripada skuad Carsley bagi memberi masa yang mencukupi untuk pemulihan.

Kini, selepas menjalani proses pemulihan selama beberapa minggu, Jack kembali menjalani latihan bersama rakan sepasukannya di Manchester City.

Jack Grealish berkongsi berita gembira tersebut di Instagram miliknya

Pemain tengah itu berkongsi berita gembira tersebut di Instagram dengan menulis, “Finally back with the boys.”

Selain Jack, pemain lain seperti John Stones, Manuel Akanji, dan Kevin De Bruyne juga telah kembali menjalani latihan, memberikan suntikan semangat kepada Guardiola.

Kehadiran mereka sememangnya dinanti-nantikan ketika City sedang bersiap menghadapi perlawanan penting menentang Tottenham Hotspur pada Ahad ini.

Tottenham sebelum ini berjaya menyingkirkan City daripada saingan Piala Carabao, dan mereka pasti mahu mengulangi kejayaan itu di Etihad.

Namun, dengan kembalinya Jack, City berharap dapat memanfaatkan rehat antarabangsa untuk mengatur semula strategi selepas melalui rekod buruk empat kekalahan berturut-turut.