STADIUM Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi kini jadi ‘litar berdenyut’ setiap kali Negeri Sembilan FC (NSFC) turun beraksi, hasil sokongan padu ribuan penyokong setia yang tidak pernah jemu memenuhi segenap ruang.
Walaupun saingan Liga Malaysia baru bermula, gegaran Paroi sudah cukup membuatkan lawan kecut perut. Dalam tiga aksi awal, Skuad Jang kendalian Nidzam Jamil sudah mengutip dua kemenangan dan satu seri – tanda awal STAR makin kebal musim ini.
Nidzam sendiri mengakui aura penyokong adalah nadi utama yang menghidupkan rentak pasukannya di padang. Tanpa sorakan mereka, perjuangan anak buahnya pasti tidak sehangat kini.
“Saya anggap penyokong ibarat nadi berdenyut untuk pasukan. Kehadiran mereka membakar semangat pemain untuk terus berlari dan berjuang hingga wisel penamat,” katanya ketika ditemui Flash Sukan.
Bukti kehangatan itu jelas apabila 25,500 penonton membanjiri STAR menyaksikan NSFC mengejutkan Selangor FC 2-1, sebelum 24,478 penyokong pula hadir menyaksikan aksi penuh dramatik menentang Kuching City yang berkesudahan seri 2-2.
Sorakan, gegaran kompang dan laungan keramat “Hoben Jang Hoben!” nyata jadi senjata tambahan, menjadikan STAR bukan sekadar stadium, tetapi medan tempur yang sukar ditembusi.
Dalam perkembangan lain, Nidzam mengesahkan penyerang muda negara, Luqman Hakim Samsuddin masih berehat akibat kecederaan hamstring yang dialaminya sebelum aksi sulung Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim 12 Ogos lalu di Stadium Sultan Ibrahim.
“Kami tak mahu ambil risiko. Luqman perlu pulih sepenuhnya dahulu, tapi saya yakin dia bakal kembali garang selepas liga bersambung nanti,” tambah Nidzam yang percaya kehadiran Luqman nanti akan menambah keampuhan pasukan.