PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp telah membuat rayuan terhadap kad merah yang diterimanya ketika menentang Manchester City minggu lalu.
Dia berharap untuk duduk di bangku simpanan bersama pasukannya menentang Nottingham Forest di City Ground malam ini.
Klopp diketahui telah membuat bantahan keras kepada penjaga garisan pada penghujung separuh masa kedua apabila menewaskan Man City 1-0 pada 16 Oktober lalu.
Akibatnya, pengadil Anthony Taylor memutuskan untuk menghalaunya kerana dianggap tidak menghormati.
Klopp masih dibenarkan duduk di bangku simpanan apabila The Reds menewaskan West Ham United 1-0 tiga hari kemudian, kerana laporan Taylor pada masa itu belum diproses. Pakar taktik Jerman itu hanya dijangka terlepas perlawanan menentang Forest.
Rupa-rupanya Klopp telah membuat rayuan, yang diserahkan selewat-lewatnya pada Jumaat. Dia berharap sekatan ke atasnya dapat dipertimbangkan semula, supaya dapat mengiringi skuadnya dari tepi padang.
Jurgen Klopp sticking his middle finger up to Anthony Taylor 🤣🤣 pic.twitter.com/G5NsZPuPTQ
— TheKop.com (@TheKop_com) October 16, 2022
“Kami hanya mengikut prosedur biasa. Buat masa ini, saya berharap dapat duduk di bangku simpanan dalam perlawanan esok, tetapi saya tidak tahu 100 peratus mengenainya.
“Kami tidak begitu mengetahui prosesnya (jawatankuasa disiplin FA), tetapi kami mempunyai beberapa orang yang tahu cara ia berfungsi dan kami telah melakukan semua yang kami perlu lakukan,” kata Klopp seperti dipetik Reuters, tanpa menjelaskan langkah yang diambilnya.
Liverpool berada dalam trend yang baik selepas memenangi dua perlawanan terakhir, menjadikan Mohamed Salah dan rakan-rakannya naik ke tangga ketujuh dalam kedudukan Liga Perdana Inggeris dengan 16 mata daripada 10 perlawanan. Bertemu Forest, mereka bertekad untuk meneruskan rekod baik itu.