DUA calon bagi jawatan Naib Presiden menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) Sabtu ini meluahkan pandangan yang sama demi melihat kebangkitan aktiviti hoki Kuala Lumpur kembali ‘bernyawa’.

Salah seorang daripadanya iaitu Ajitpal Singh menegaskan perkara pertama yang perlu ditumpukan adalah memastikan keadaan stadium yang baik penyelenggaraan agar aktiviti hoki Kuala Lumpur boleh dijalankan dengan lancar.

“Selain itu saya ingin melihat ketelusan dari segi dana supaya PHKL dapat menguruskan dengan lebih baik dalam pelbagai sudut,” kongsinya.

Ajitpal Singh

Sementara itu, Razalee Yahya yang juga pernah beraksi dalam Piala Razak mahu membantu menaik taraf liga Hoki Kuala Lumpur selepas ini.

“Saya harap lebih banyak pertandingan akan dianjurkan, dan bukan seperti tahun lalu yang mengambil masa lebih lapan bulan untuk satu kejohanan. Apabila kelab-kelab lain ‘bising’ baharulah mereka percepatkan.

“Lagi satu, saya mahu melihat kembali adanya pertandingan di peringkat divisyen seperti premier, divisyen 1,2, dan 3. Besarkan lagi kumpulan pemain lokal. Lebihkan pasukan di peringkat sekolah.

“Malah saya juga mahu melihat lebih banyak kerjasama dengan Kesatuan Hoki Malaysia (KHM), yang mana tumpuan diberi kepada pemain-pemain tempatan. Kurangkan pemain import. Kalau ramai pemain luar, mana pula pemain-pemain lokal nak beraksi?,” jelasnya panjang lebar.

Menjelang AGM Sabtu ini, Razalee juga berharap semuanya akan berjalan lancar dan dapat menyaksikan kepimpinan baharu dapat diangkat demia sukan hoki Kuala Lumpur.