SUDAH berbincang, sudah bersetuju… tapi tandatangan belum juga mendarat di atas kertas. Begitulah situasi yang terus menghantui status kontrak dua bintang beregu wanita negara, Pearly Tan -M Thinaah, yang masih belum dimuktamadkan bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meskipun sudah beberapa perbincangan dijalankan.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, mengakui perbincangan bersama Pearly-Thinaah hari ini berlangsung dalam suasana harmoni, namun beliau menegaskan sudah tiba masanya segala keputusan dimuktamadkan, demi kelangsungan prestasi pemain dan hala tuju negara.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz tidak mahu isu kontrak Pearly-Thinaah berlarutan.
“Kita dah berbincang secara sangat jujur dan terbuka. Saya nyatakan kepada mereka, cukup sudah masa berbincang, kini masa untuk kita tutup rundingan ini sebelum Terbuka Jepun bermula,” katanya, dalam sidang media selepas sesi libat urus bersama pemain Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Menurut Zafrul, hanya beberapa perkara kecil yang masih tertangguh, namun beliau sudah menetapkan tempoh akhir agar pengumuman rasmi dapat dibuat dalam masa terdekat, demi memastikan fokus Pearly-Thinaah tidak lagi terganggu menjelang kejohanan besar seperti Japan Open (15-20 Julai), China Open (22-26 Julai) dan Kejohanan Dunia (25-31 Ogos).

Pearly-Thinaah terus kunci mulut, tidak mahu kongsi status kontrak kepada umum. FOTO|FB Pearly Tan
Pearly-Thinaah yang kini menduduki ranking ketiga dunia, antara aset paling bernilai dalam skuad negara. Namun ketidaktentuan status mereka, sama ada kekal di bawah BAM atau beralih kepada status profesional, menimbulkan spekulasi hangat dalam kalangan peminat dan pemerhati sukan.
BAM optimis kata putus akan dicapai sebelum mereka berlepas ke Jepun, dengan Zafrul memberi bayangan pengumuman itu akan memberi ‘kemenangan dua hala’ kepada kedua-dua pihak.
“Apa pun keputusan, kita mahu ia memberi motivasi dan bukan tekanan. Saya yakin Pearly dan Thinaah mahu terus mencipta kejayaan, dan BAM akan sentiasa menyokong mereka jika berada dalam kerangka yang jelas dan profesional,” kata Zafrul.
Untuk rekod, kontrak Pearly-Thinaah bersama BAM berakhir Disember tahun lalu.