JURULATIH kebangsaan, Kim Pan-gon menyeru semua warganegara Malaysia untuk memberikan sokongan kepada skuad bimbingan beliau kerana ianya adalah sebagai motivasi tambahan buat para pemain.

Pan-gon menjangkakan stadium yang penuh untuk memberikan satu suasana perlawanan yang menakjubkan dengan kesemua pemain berada dalam keadaan terbaik bagi menghadapi perlawanan yang dianggap sukar.

Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu turut menyatakan bahawa skuad negara menghormati Bahrain yang mempunyai ranking lebih tinggi tetapi mahu memastikan anak-anak buahnya untuk tidak takut kepada pihak lawan.

“Penyokong Malaysia dan Ultras Malaya berjaya mewujudkan satu pengalaman yang menakjubkan dan saya berharap semua dapat datang ke stadium untuk menyokong kami. Stadium yang penuh akan memberikan kami tonik tambahan untuk menentang Bahrain. Diharap semua warganegara akan menyokong kami.

 

“Selepas perlawanan lepas kami fokus kepada proses pemulihan dan para pemain berjaya pulih untuk menjalani persiapan berkaitan taktikal. Meskipun kita tidak mempunyai masa yang panjang untuk sesi pemulihan namun semua pemain berada dalam keadaan yang baik.

“Bahrain adalah pasukan yang kuat dan sering layak ke kejohanan besar di Asia. Kami menghormati mereka namun kami akan turun untuk menang dan pemain-pemain saya tidak akan takut dan akan menunjukkan mereka semangat melawan untuk diberikan kepada para penyokong,” jelasnya ketika sidang media pra perlawanan pada Jumaat.

Pan-gon juga menyatakan bahawa mental para pemainnya sangat kuat dan misi mencari satu atau tiga mata adalah objektif utama dalam perlawanan esok (Sabtu) untuk memastikan Malaysia layak ke Piala Asia.