SKUAD kuadran Malaysia menamatkan kempen Piala Asia Sepak Takraw 2025 dengan penuh gaya apabila membenam cabaran Jepun 2-0 dalam aksi final yang berlangsung penuh bertenaga di Stadium Titiwangsa.

Malaysia mempertaruhkan gandingan mantap Faizzul Razak, Afifuddin Razali, Shahalril Aiman Halim dan kapten berpengaruh, Amirul Zazwan Amir untuk aksi penentu itu.

Jepun pula mengekalkan hampir keseluruhan kuartet asal, kecuali memasukkan Ryota Haruhara bagi menambah kekuatan.

Set pertama memperlihatkan dominasi awal skuad negara yang pantas mendahului 10-3, memaksa Jepun membuat pertukaran taktikal dengan memasukkan Seiya Takano.

Namun, kemasukan pemain itu tidak banyak membantu apabila Malaysia kekal konsisten untuk menang 15-8.

Jepun cuba bangkit dalam set kedua dan memberi sedikit tekanan, namun skuad negara kekal tenang dan mengawal permainan dengan baik untuk terus mendahului 10-7.

Dengan rentak yang tersusun, Malaysia akhirnya menoktahkan kemenangan dengan mata 15-11.

PIX:PSM