PRESIDEN Persatuan Sepakbola Indonesia (PSSI), Erick Thohir, meluahkan hasrat besar untuk mempertemukan semula skuad Garuda dan Harimau Malaya dalam aksi persahabatan antarabangsa yang dirancang berlangsung pada September ini.

Dengan nada penuh keterbukaan, beliau menyatakan bahawa Indonesia sudah lama merindui detik klasik serumpun yang sentiasa membakar semangat kedua-dua negara.

“Rasanya kita pun sudah rindu nak lawan Malaysia, dah agak lama. Jadi, sebagai uji kekuatan bersama, sekiranya Malaysia bersetuju,” kata Erick kepada media tempatan.

Tambahnya, walaupun jika perlawanan itu tidak menjadi kenyataan kali ini, peluang masih terbuka di masa akan datang.

“Kalau tidak pun tak mengapa, mungkin lain kali.”

Erick turut mengesahkan bahawa Malaysia kini termasuk dalam radar PSSI sebagai calon lawan dalam satu daripada tiga slot perlawanan persahabatan yang sedang dipertimbangkan.

Dua lagi slot berkemungkinan diisi oleh pasukan dari Timur Tengah sebagai persediaan menghadapi pusingan seterusnya Kelayakan Piala Dunia 2026, sekiranya Indonesia mara dari pusingan ketiga kelayakan yang sedang berlangsung.

“Kita lihat Malaysia sedang memperkemas diri. Mereka sudah tukar jurulatih, ada ramai pemain baharu… jadi kita pun mahu mencuba juga,” katanya, sambil mengakui kekuatan semasa Harimau Malaya sebagai satu ujian yang sesuai buat skuad bimbingan Patrick Kluivert.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada AFF Suzuki Cup 2021, ketika Indonesia membelasah Malaysia 4-1.

Namun dengan perubahan ketara dalam kedua-dua kem sejak itu, pertembungan semula dijangka menjadi lebih sengit dan penuh simbolik – bukan sekadar aksi persahabatan, tetapi juga lambang persaudaraan dan persaingan sihat dua kuasa bola sepak serantau.