“SUDAH tentu, sasaran nombor satu saya adalah pingat emas.” Itu penegasan Presiden baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang meletakkan misi memburu emas Olimpik pertama negara sebagai agenda utama kepimpinannya.
Tengku Zafrul tidak berselindung menyatakan bahawa impian membawa pulang pingat emas Olimpik adalah cita-cita semua rakyat Malaysia, dan beliau sendiri bersedia memikul harapan tersebut bersama barisan atlet dan jurulatih negara.
“Setiap rakyat Malaysia inginkan pingat emas, jadi saya pun begitu. Kita semua sehaluan,” katanya.
Beliau mengakui beban harapan itu cukup besar, apatah lagi selepas secara rasmi diumumkan sebagai Presiden BAM, namun menegaskan bahawa ia cabaran yang boleh diurus dengan perancangan rapi dan pelaksanaan yang berkesan.
“Saya rasa tekanan itu ada, tapi ia satu cabaran yang saya terima dengan terbuka,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Zafrul berkata beliau memerlukan tempoh 100 hari pertama untuk mendengar dan memahami pandangan semua pihak berkepentingan – termasuk pemain, jurulatih, pegawai dan peminat – sebelum merangka pelan hala tuju BAM ke era baharu.
“Kalau kita berganding bahu, saya percaya kita boleh capai lebih baik daripada sebelum ini,” katanya lagi.
Tambahnya, badminton kekal sebagai antara sukan terbaik dalam peluang menyumbang emas Olimpik, berdasarkan bakat sedia ada serta rekod pencapaian terdahulu. Justeru, beliau mahu memastikan sistem sokongan dan pembangunan sukan itu benar-benar mantap bagi merealisasikan matlamat besar itu.
“Ada ruang untuk penambahbaikan, dan saya di sini bukan hanya untuk meneruskan apa yang sedia ada, tapi untuk bawa BAM ke tahap lebih tinggi. Ini bukan hanya misi saya, tapi misi kita semua, untuk negara, untuk penyokong, dan untuk sejarah,” katanya penuh tekad.