DUA bekas pelumba import Terengganu Cycling Team (TSG), Merhawi Kudus dan Jambaljamts Sainbayar kembali mewarnai saingan PETRONAS Le Tour de Langkawi 2025 (PLTdL25) namun, kali ini bersama pasukan ProTeam Sepanyol, Burgos-Burpellet BH.

Pasukan itu yang tampil buat kali keempat berturut-turut turut mengekalkan pemenang jersi polka dot Raja Bukit tahun lalu, Mario Aparicio Munoz sebagai taruhan utama di laluan pendakian.

Selain itu, Burgos turut mempertaruhkan tiga lagi pelumba berpengalaman iaitu David Martin, Georgios Bonglas dan Jose Manuel Diaz Gallego yang pernah berkayuh dalam edisi-edisi lalu.

Ketua Pegawai Operasi (CEO) PLTdL25, Emir Abdul Jalal menjangkakan pasukan itu akan memburu sekurang-kurangnya tiga gelaran termasuk jersi hijau, jersi polka dot dan kedudukan berpasukan keseluruhan.

“Merhawi Kudus, Sainbayar, Aparicio dan Gallego adalah pendaki yang diiktiraf, jadi tidak hairan jika mereka cuba mendominasi laluan berbukit seperti peringkat Gerik-Pasir Puteh dan Temerloh-Bukit Fraser,” katanya dalam kenyataan media dikeluarkan Majlis Sukan Negara (MSN) yang juga Sekretarian perlumbaan.

Kudus yang pernah bersama pasukan WorldTeam Astana dan EF Education membawa pengalaman luas selepas beraksi di Giro d’Italia, Tour de France dan enam kali di Vuelta a Espana.

Sainbayar pula bekas juara kebangsaan Mongolia yang pernah membantu TSG di pentas Asia sebelum menduduki tangga kesembilan individu keseluruhan pada LTdL22.

LTdL25 yang berlangsung dari 28 September hingga 5 Oktober bakal meliputi jarak 1,243.5 kilometer merentasi 12 negeri dengan kemuncaknya berakhir di KLCC.