BEZA 10 tangga… itulah jurang ranking dunia antara England dan Amerika Syarikat (AS), namun pada perlawanan awal pagi tadi, kedua-dua pasukan bagaikan sama taraf.

Malah jauh berbeza dengan pandangan dilemparkan bekas pemain antarabangsa England, Joe Cole dan Roy Keane yang FLASH SUKAN utarakan semalam

Skuad bimbingan Gregg Berhalter, AS hanya menghasilkan satu cubaan tepat ke sasaran, kurang dua cubaan berbanding England, namun itu tidak menggambarkan keseluruhan drama dalam perlawanan itu.

Secara total, AS meledakkan 11 cubaan berbanding England hanya lapan. Malah AS hampir memperoleh gol menerusi rembatan Christian Pulisic yang menggegar palang pada minit ke-33.

Jentera serangan England sebaliknya tumpul hanya empat hari selepas ia menjaringkan enam gol menentang Iran.

Harry Maguire dan Jack Grealish antara pemain paling sibuk

AS hanya menguasai 45 peratus bola kerana mereka memilih untuk berkampung di benteng pertahanan setiap kali England memegang bola.

Taktik ini terbukti bijak kerana ia membolehkan AS melancarkan lima serangan balas pantas, empat lebih banyak daripada England.

Pemain yang paling sibuk pada perlawanan itu adalah bek tengah Harry Maguire dan John Stones, apabila masing-masing membuat 91 dan 94 sentuhan bola.

Malah, Maguire menjadi watak penting mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya menerusi 10 sepakan percuma diperoleh AS.

Perlawanan itu juga cukup bersih apabila tiada kad kuning dilayangkan meskipun berlaku 24 kekasaran dan 15 daripadanya dilakukan pemain AS.

Berikut statistik perlawanan antara England menentang AS.