NEYMAR terpaksa berkerja keras mencari ruang dan peluang namun Richarlison mnuncul wira ketika Brazil menewaskan Serbia 2-0 awal pagi tadi.
Wira The Selecao itu meledak dua gol pada perlawanan pembukaan kumpulan G di Stadium Lusail.
Gol pertama hadir pada minit ke-62 terhasil menerusi gerakan dimulakan Neymar, melorongkan bola kepada Vinicius Junior, namun rembatannya ditampan Vanja Milinkovic-Savic, tetapi Richarlison yang berada di situ melepaskan rembatan susulan membolehkan Brazil di depan.
Gol pertama Brazil pada perlawanan itu, menjadi jaringan pertama penyerang Tottenham Hotspur itu di Piala Dunia.

Jaringan akrobatik Richalison, membolehkan Brazil mendapat gol kedua ketika menentang Serbia.
Dia kemudian membuatkan stadium gegak gempita sekali lagi apabila menyudahkan hantaran Vinicius dengan jaringan akrobatik untuk memastikan kemenangan buat juara dunia lima kali itu pada minit ke-73.
“Impian kanak-kanak saya kini menjadi kenyataan. Kami sedar ia tidak mudah untuk mengatasi mereka. Saya sudah biasa bermain menentang pasukan yang bertahan seperti ini di England.
“Saya hanya mahu memanfaatkan setiap peluang yang dimiliki untuk membantu pasukan dan saya berjaya melakukannya,” kata Richarlison yang membuat penampilan pertamanya di Piala Dunia.
Begitupun, kemenangan itu cukup mahal buat Brazil, apabila Neymar dilaporkan mengalami kecederaan buku lali.

Neymar menahan sakit selepas diasak keras sehingga dia terpaksa dikeluarkan.
Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu dilihat meletakkan ais pada buku lalinya dan menangis di bangku simpanan selepas dikeluarkan pada minit ke-79.
Dia juga berjalan tempang ketika masuk ke bilik persalinan dengan bengkak jelas kelihatan di kaki kanannya.

Kembali ke bangku simpanan… Neymar sedang membalut kecederaan buku lalinya yang membengkak.
Doktor pasukan Brazil, Rodrigo Lasmar enggan membuat spekulasi berhubung kecederaan Neymar itu, sebaliknya berkata akan melakukan pemeriksaan lanjut bagi mengetahui tahap kecederaan pemain berkenaan.
“Kita lihat bagaimana reaksi Neymar nanti. Kami sudah mula melakukan rawatan tetapi kami perlu berhati-hati dan bersabar.
“Masih terlalu awal untuk bercakap mengenainya, kita akan lihat perkembangannya nanti,” kata Lasmar. – AP