PEMAIN pertahanan England dan Manchester City, Kyle Walker, dilaporkan mengadakan sebuah ‘leaving party’ bersama rakan-rakannya ketika dia semakin hampir meninggalkan Manchester City bagi menyertai kelab Serie A.

Langkah ini juga dilihat sebagai usaha Walker untuk menyelamatkan perkahwinannya dengan Annie Kilner, yang kini berada di ambang perceraian.

Memetik laporan media antarabangsa, AC Milan dan Inter Milan kini sedang bersaing untuk mendapatkan khidmat Walker, dengan tawaran kontrak pinjaman selama enam bulan yang boleh bertukar menjadi perjanjian tetap selama dua tahun.

Walker, yang kini memiliki 93 penampilan bersama skuad kebangsaan England, ingin kekal di Eropah untuk memastikan tempatnya dalam pasukan kebangsaan bagi mencapai impian meraih lebih 100 penampilan.

Pergolakan rumah tangga Kyle Walker tercetus apabila dia dilaporkan bermain cinta tiga segi antara Annie Kilner dan Lauryn Goodman.

Bagaimanapun, kehidupan peribadi Walker menjadi tumpuan apabila dia dilaporkan ingin keluar dari England untuk mengelak kontroversi cinta tiga segi antara Annie Kilner dan bekas teman wanitanya, Lauryn Goodman.

Kilner yang sebelum ini dilaporkan mempertimbangkan semula keputusan untuk bercerai selepas Walker, secara rahsia menyambut kelahiran anak kedua bersama Lauryn.

Selain itu, Walker juga dilaporkan menghabiskan cuti Krismas bersama Kilner, tindakan yang mendapat reaksi negatif daripada Lauryn.

Malah, Walker kini mempunyai kontrak bersama Manchester City sehingga 2026, namun masa depannya di kelab tersebut semakin tidak menentu.

Musim ini, peranannya bersama City dilihat semakin berkurangan dengan hanya sembilan penampilan sebagai pemain kesebelasan utama serta enam kali turun dari bangku simpanan. 

 

Kyle Walker sudah memiliki 93 penampilan bersama skuad kebangsaan England.

Walaupun masih diberi kepercayaan untuk menjadi ketua pasukan dalam beberapa perlawanan, laporan mendedahkan bahawa Walker telah meminta untuk meninggalkan Etihad.

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, turut mengesahkan bahawa Walker telah menyuarakan hasrat untuk keluar dari kelab tersebut.

Perlawanan seterusnya untuk City adalah menentang Brentford pada Rabu, namun masih belum dapat dipastikan sama ada Walker akan disenaraikan dalam skuad tersebut atau tidak.

Situasi ini menjadikan spekulasi perpindahan Kyle Walker semakin hangat diperkatakan, sama ada dia akan memilih untuk menyertai salah satu gergasi Serie A atau kekal di England.