KETUA pasukan Manchester City, Kyle Walker, tampil mengecam pengguna media sosial selepas menjadi mangsa serangan perkauman susulan kekalahan pasukannya kepada Juventus dalam saingan Liga Juara-Juara, Khamis lalu.

Walker menerima mesej berunsur perkauman yang keterlaluan di Instagram dan berkongsi beberapa gambar serangan tersebut di Instagram Story miliknya.

Dia menyeru pihak Instagram dan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas bagi menangani tingkah laku tidak bermoral seperti ini.

“Tiada sesiapa patut menjadi mangsa serangan perkauman, ancaman, atau kebencian seperti yang saya terima secara dalam talian selepas perlawanan malam tadi.

“Instagram dan pihak berkuasa perlu menghentikan perkara ini demi mereka yang turut menjadi mangsa.

“Ia tidak boleh diterima dan kepada para peminat, kami akan terus bekerja sebagai satu pasukan untuk menjadi lebih baik, memperbaiki prestasi, dan bangkit bersama,” kata Walker yang dipetik daripada Instagram miliknya.

Susulan insiden tersebut, Manchester City telah mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menyatakan sokongan terhadap kapten mereka dan menegaskan pendirian mereka menentang sebarang bentuk diskriminasi.

“Manchester City mengutuk sekeras-kerasnya serangan perkauman yang ditujukan kepada Kyle Walker secara dalam talian selepas perlawanan malam tadi.

“Kami menolak untuk bertoleransi dengan diskriminasi dalam apa jua bentuk, sama ada di stadium mahupun dalam talian dan Kami akan memberikan sokongan penuh kepada Kyle selepas layanan menjijikkan yang diterimanya,” kata kelab itu.

Insiden ini berlaku ketika prestasi kurang memberangsangkan ditunjukkan pasukan juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu, yang hanya menang sekali daripada 10 perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.

Walaupun sempat mencatat kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas Nottingham Forest pada 4 Disember, kekalahan kepada Juventus kembali menambah tekanan kepada skuad bimbingan Pep Guardiola.

Walker dan rakan sepasukannya kini nekad untuk bangkit apabila mereka berdepan Manchester United dalam aksi derby yang dijadualkan berlangsung di Stadium Etihad pada Isnin ini.