SKUAD hoki wanita muda negara masih berpeluang menghidupkan impian ke Piala Dunia Remaja Wantia 2025 di Santiago, Chile, walaupun terpaksa akur dengan kekalahan 0-4 kepada gergasi Asia, China, dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Hoki Al Amarat, Muscat, Oman, semalam.
China, yang mengungguli kumpulan dengan rekod sempurna, jelas berada di kelas tersendiri, tetapi pemain negara tetap mempamerkan semangat juang tinggi meskipun diasak hebat sepanjang perlawanan.
Ketua jurulatih negara, Lailin Abu Hassan, memuji peningkatan prestasi skuad kendaliannya, meskipun akur kekuatan lawan sukar ditandingi.
“Saya akui China pasukan yang sangat kuat, tetapi pemain kita menunjukkan permainan lebih baik berbanding aksi terdahulu. Fokus kini beralih kepada perlawanan penentuan tempat ke-5/8 menentang Hong Kong.
“Saya yakin dengan strategi yang telah dirancang, kami mampu meraih kemenangan pada Sabtu nanti,” katanya selepas perlawanan.
Walaupun gagal ke separuh akhir, Malaysia masih memiliki peluang terakhir untuk merebut slot ke Piala Remaja Dunia. Untuk itu, kemenangan ke atas Hong Kong adalah wajib sebelum bertemu pemenang di antara Taiwan dan Thailand dalam perlawanan penentuan tempat kelima.
Di sebalik keputusan mengecewakan, penjaga gawang, Nur Hazlinda Zainal Abidin, mencuri tumpuan apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Bintang Sedang Meningkat Naik.
Aksi cemerlang Hazlinda menjadi benteng terakhir pasukan dalam mengekang asakan bertali arus China, terutama ketika berdepan pukulan sudut penalti.
“Kita dapat lihat kebolehannya yang sebenar hari ini. Dia layak menerima anugerah tersebut dan banyak membantu pasukan bertahan,” ujar Lailin.

penjaga gawang, Nur Hazlinda Zainal Abidin, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Bintang Sedang Meningkat Naik. (rising Star)
Dalam perlawanan tersebut, jaringan awal oleh Hao Guoting pada minit keempat dan ke-17 memberi tekanan besar kepada Malaysia, sebelum Lei Jiajing dan Tan Jinzhuang melengkapkan kemenangan China dengan dua lagi gol pada babak kedua.
Young Tigress kini berada di persimpangan penting. Perlawanan menentang Hong Kong yang dijadualkan Sabtu ini pada jam 6 petang waktu Malaysia bakal menjadi misi hidup mati buat skuad muda negara.
Segala usaha dan strategi kini tertumpu untuk memastikan peluang ke Santiago kekal terbuka.
Semangat dan sokongan rakyat Malaysia amat diperlukan untuk menyuntik motivasi kepada Young Tigress dalam misi penting ini. Ayuh, Malaysia!