SAINGAN TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2026 kategori Premier terus bersambung semalam dengan aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Kompleks SUKPA, Kuantan Pahang, menyaksikan Maybank meraih tiga mata pertama selepas menewaskan skuad muda Pahang, Young Elephants Pahang, 5-2.
Pengendali Maybank, Iman Gobinathan menyifatkan, bagi mana-mana pasukan, perlawanan pertama adalah perlawanan “pemanas enjin” dalam menyesuaikan corak serta strategi pasukan.
Beliau turut menegaskan, menjaringkan empat pukulan sudut penalti daripada tujuh kelebihan yang dimiliki bukan satu keputusan yang baik, namun percaya pemainnya akan mempamerkan persembahan yang lebih baik pada perlawanan seterusnya.
“Perlawanan pertama pastinya bukan aksi yang sempurna namun kami mencipta peluang-peluang yang baik dari segi menyerang dan juga mendapatkan pukulan sudut penalti.
“Aksi hari ini, lawan kami merupakan pasukan muda dan boleh berlari tanpa henti dalam padang, jadi mereka lebih banyak bertahan.
“Bermain dengan mana-mana pasukan yang menggunakan corak bertahan, kita perlu bijak untuk merangka strategi dan pastinya bukan mudah,” ujarnya.
Aksi tersebut menyaksikan Young Elephant Pahang terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-13 menerusi gol pukulan sudut penalti yang disempurnakan Tengku Nasrul Ikmal Tengku Abd Rahim.
Bagaimanapun kelebihan tersebut tidak bertahan lama apabila dua minit kemudian, Muhammad Nur Asyraf Ishak, memastikan Maybank mengikat kedudukan 1-1 sebelum Muhammad Najmi Farizal Jazlan dan Muhammad Shahril Saabah memberikan kelebihan buat Maybank menuju ke masa rehat separuh masa pertama dengan masing-masing menjaringkan gol pukulan sudut penalti pada minit ke-21 dan 23.
Bersambung separuh masa kedua giliran Muhammad Khairul Norizam mencetak nama selaku penjaring kali ini menerusi gol padang pada minit ke-36 dan tiga minit kemudian, Najmi Farizal menjaringkan gol peribadi keduanya juga hasil kelebihan pukulan sudut penalti.
Pahang dilihat cuba untuk mengejar kedudukan, namun, gol minit ke-57 yang dijaringkan Muhammad Noor Firdaus Rosdi, tidak cukup untuk Young Elephant Pahang bangkit mengejar, sekaligus tiga mata dibawa pulang Maybank pada aksi tersebut.
Dalam satu lagi aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, pertemuan TNB Thunderbolts dengan UITM-HA KPT berkesudahan dengan kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 dan terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata.
Sumber Gambar: MHC