KESILAPAN kecil dan kehilangan fokus seketika menjadi punca Kuching City FC tewas 1-2 kepada Terengganu FC dalam aksi timbal balik Piala FA 2025 di Stadium Negeri, malam tadi.
Ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak, mengakui kekalahan itu berpunca daripada dua gol mudah hasil kesilapan sendiri, walaupun pasukannya memiliki kelebihan agregat selepas menang di tempat lawan.
“Kita tahu Terengganu pasukan yang baik tetapi dua gol yang kita bolos datang daripada kesilapan sendiri.
“Gol pertama, kita tidak fokus, tidak tersusun, dan mereka ambil sepakan sudut pantas lalu menjaringkan gol,” kata Aidil selepas perlawanan.
Beliau menambah kelekaan kecil sudah cukup untuk mengubah hala perlawanan, sekali gus menjadi pengajaran penting buat skuad The Cats menjelang aksi separuh akhir.
“Kita tak boleh leka walaupun satu atau dua saat. Pasukan lawan akan hukum kita. Ini sesuatu yang perlu kita belajar,” ujarnya.
Meskipun tewas di laman sendiri, Aidil tetap melihat perkembangan positif apabila Kuching City mara ke peringkat separuh akhir buat pertama kali dalam sejarah kelab itu hasil kemenangan yang diraih pada aksi pertama di Kuala Terengganu.
“Saya lihat dari sudut positif, kita tidak kalah dalam enam perlawanan sebelum ini tetapi hari ini kita tewas, namun kita tetap layak ke separuh akhir dan itu adalah pencapaian yang baik,” tambahnya.
Beliau turut berharap anak buahnya dapat mengambil pengajaran daripada perlawanan tersebut bagi mengelak kesilapan serupa ketika berdepan tugas sukar di separuh akhir menentang Johor Darul Ta’zim FC, yang menyingkirkan Penang FC dengan agregat 5-1 di suku akhir.
Sumber Gambar: Media Sosial Kuching City FC