PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) kini berada di fasa akhir dalam usaha membawa dimensi baharu kepada pasukan Harimau Malaya dengan menambah kekuatan melalui pemain-pemain warisan.

Dalam satu kenyataan media pada Sabtu, FAM mengesahkan bahawa empat pemain warisan baharu sedang menunggu kelulusan muktamad daripada Kerajaan Malaysia untuk mendapatkan kerakyatan.

Proses ini merupakan langkah penting bagi memperkukuh barisan skuad kebangsaan di bawah kepimpinan ketua jurulatih baharu, Peter Cklamovski.

Selain itu, FAM turut dalam proses melengkapkan dokumentasi bagi empat lagi pemain warisan yang diharapkan dapat menyarung jersi kebangsaan dalam masa terdekat.

Usaha yang dilakukan ini juga telah mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan Malaysia yang terus komited membantu pembangunan bola sepak negara.

“FAM berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia atas sokongan yang diberikan dalam usaha meningkatkan mutu pasukan Harimau Malaya,” kata kenyataan rasmi daripada FAM.

Skuad kebangsaan kini giat melakukan persiapan menjelang kempen Kelayakan Piala Asia 2027, dengan perlawanan sulung Kumpulan F menentang Nepal dijadualkan pada 25 Mac.

Perlawanan ini bakal menjadi ujian pertama buat Peter Cklamovski, yang baru dilantik untuk mengendalikan pasukan.

Kemasukan pemain-pemain warisan ini diharap dapat membawa perubahan besar kepada prestasi Harimau Malaya, sekaligus meningkatkan peluang Malaysia layak ke Piala Asia 2027.