KEJOHANAN Corporate Super Rugby (CSR) 2025 bakal kembali dengan penuh semangat apabila pasukan ragbi terunggul tanah air, Muamalat Bullets, bersedia untuk mencipta sejarah dengan memburu kejuaraan hatrik.
Kejohanan kali ini akan menyaksikan lapan pasukan berentap, masing-masing mewakili syarikat korporat dan agensi kerajaan yang akan merebut gelaran juara yang berprestij ini.
Pengurus pasukan Muamalat Bullets, Ts. Megat Mohammad Faisal Khir Johari, menyatakan bahawa pasukannya bersemangat untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi selama dua musim berturut-turut.
Megat menegaskan keyakinannya terhadap kemampuan para pemainnya yang berpengalaman luas, walaupun menyedari cabaran sengit yang bakal dihadapi oleh pasukan-pasukan lain.
Menurutnya, pengalaman dan semangat juang yang tinggi dalam kalangan pemain menjadi aset utama dalam usaha mereka mencapai kejayaan kali ini.
“Kami sedar bahawa pasukan-pasukan yang bertanding kali ini bakal memberikan cabaran yang hebat.
“Walau bagaimanapun, kami tetap percaya bahawa pengalaman luas barisan pemain yang bakal dipertaruhkan mampu untuk mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.
Pada majlis undian rasmi yang berlangsung di ibu pejabat Enervive Sports, Subang, Muamalat Bullets ditempatkan dalam kumpulan B dan akan berentap dengan TUDM Blackhawk, MBSJ Knights, dan MBJB Red Panthera.
Sementara itu, kumpulan A pula dihuni oleh PPTD Patriots, finalis musim lalu, yang akan menghadapi cabaran daripada MBDK Royal Town Warriors serta dua pasukan baharu, JLJ Rugby dan Southern Oilers.
Juara kejohanan bukan sahaja akan membawa pulang piala kemenangan, tetapi juga hadiah wang tunai sebanyak RM15,000, manakala pasukan yang berjaya ke final akan menerima RM8,000.
Ketua Pegawai Eksekutif Enervive Sports, Shahrizin Shahrudin, menekankan kepentingan kejohanan ini dalam membangunkan bakat tempatan.
Shahrizin menyifatkan CSR adalah platform penting untuk jurulatih kebangsaan mengenal pasti pemain yang mampu membawa cabaran Malaysia ke peringkat antarabangsa.
“Kejohanan ini bakal menjadi medan bagi jurulatih pasukan kebangsaan mengenal pasti bakat-bakat yang boleh diketengahkan bagi membawa cabaran negara di peringkat antarabangsa,” katanya.
Dalam masa yang sama, Shahrizin turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia Rugby atas sokongan padu mereka dalam memastikan kejohanan ini terus berlangsung.
Kejohanan ini dijadualkan bermula pada 8 Februari 2025 di Padang Rugby Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.
Setiap minggu akan menyaksikan empat perlawanan berlangsung, di mana semua pasukan bakal bersaing sengit untuk merebut tempat ke CSR Grand Finals yang akan diadakan pada Mei nanti.