PERASAAN bangga yang berbeza, apabila memenangi gelaran di negara sendiri.
Demikian rumusan ringkas Tee Kai Wun, selepas dia dan gandingan Man Wei Chong meraih gelaran kedua musim ini, di Perodua Masters Malaysia, selepas Masters Indonesia, Januari lalu.
“Saya rasa menang di Malaysia, cukup membanggakan cuma rasanya lain macam… kerana penyokong tak tahu nak sokong siapa, mereka hanya menjerit Malaysia, jadi ia buatkan saya terfikirkan sesuatu,” kata Kai Wun, yang bangga mereka dapat bangkit dari kemerosotan prestasi sejak Januari lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersama Jawatankuasa RTG hadir memberi sokongan untuk perlawanan akhir beregu lelaki Malaysia Masters. FOTO|FB Hannah Yeoh
Axiata Arena yang menjadi saksi kemenangan Wei Chong-Kai Wun, dibanjiri peminat tempatan yang menyaksikan pertembungan dua gandingan negara terbabit.
Kemenangan Wei Chong-Kai Wun itu bukan sahaja menamatkan kemarau 12 tahun kejuaraan pemain tempatan dalam beregu lelaki di Malaysia Masters, malah mengulangi kegemilangan edisi 2013 yang menyaksikan pertembungan dua beregu, Goh V Shem-Lim Khim Wah menentang Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang di menangki V Shem-Khim Wah.

Aksi final beregu lelaki Malaysia Masters antara Man Wei Chong-Tee Kai Wun menentang Aaron Chia-Soh Wooi Yik. FOTO|FB Hannah Yeoh
Sementara itu, Wei Chong mengakui prestasi Aaron-Wooi Yik agak merosot di final, namun mengakui kondisi semasa atlet berbeza-beza pada hari perlawanan.
“Tetapi, saya rasa perlawanan paling sukar sepanjang kejohanan ini adalah di separuh akhir, kerana kami mempamerkan prestasi yang sempurna,” ujar Wei Chong, memilih aksi menentang Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun sebagai perlawanan pilihan.
Pada final, Wei Chong-Kai Wun menang ke atas Aaron-Wooi Yik 21-12, 15-21, 21-16 dalam masa 50 minit dan hadiah disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.