GANDINGAN muda negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mencipta kejutan terbesar dalam karier mereka apabila menundukkan pasangan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk merangkul gelaran sulung Perodua Malaysia Masters di Axiata Arena sebentar tadi.
Kejayaan pasangan nombor 8 dunia itu, sekali gus menamatkan kemarau 12 tahun gelaran beregu lelaki yang kali terakhir dimenangi Goh V Shem-Lim Khim Wah pada tahun 2013.
Aksi final yang berlangsung dalam suasana gamat menyaksikan Wei Chong-Kai Wun bermula garang dengan kemenangan 21-12 di set pertama, sebelum dikejutkan kebangkitan Aaron-Wooi Yik yang mencuri set kedua 21-15, memaksa permainan dilanjutkan ke set penentuan.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa akur belum bertuah meraih gelaran juara di gelanggang sendiri. FOTO|BAM
Namun keazaman dan keberanian luar biasa yang ditampilkan gandingan bukan pilihan itu nyata mengejutkan Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking ketiga dunia apabila mereka tampil lebih bertenaga untuk menoktahkan kemenangan 21-16 di set ketiga, sekali gus menjulang trofi kedua di kejohanan bertaraf Super 500 itu, selepas Indonesia Masters, Januari lalu.
Kejayaan itu bukan sahaja mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pencabar utama dalam kem beregu lelaki negara, malah memberi isyarat jelas bahawa dominasi Aaron-Wooi Yik tidak lagi boleh dianggap mutlak.