AKSI antara Manchester United dan ASEAN All-Stars dalam perlawanan Maybank Challenge Cup 2025 pada Rabu ini mendapat perhatian istimewa daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkannya sebagai lambang semangat serantau ASEAN.

Berucap dalam Mesyuarat ASEAN di ibu negara, Anwar berkata “Perlawanan Manchester United dan ASEAN All-Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil pamer semangat ASEAN.”

Kenyataan itu mencerminkan kepentingan acara berkenaan yang bukan sahaja menampilkan kelab gergasi dari England, tetapi juga menyatukan pemain-pemain terbaik dari negara-negara Asia Tenggara di atas satu padang.

terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut tidak ketinggalan meluahkan keterujaan menjelang perlawanan epik antara Manchester United dan ASEAN All-Stars yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Mei ini.

Malaysia selaku tuan rumah menyambut kunjungan Manchester United selepas 16 tahun, sekali gus menjadikan perlawanan ini sebagai antara acara sukan paling dinanti di rantau ini sepanjang 2025.

Perlawanan itu turut dianggap sebagai pentas penting memperkukuh kerjasama serantau menerusi sukan, sejajar dengan aspirasi ASEAN ke arah integrasi lebih mantap dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan bola sepak.

Sebagai simbol perpaduan dan semangat kebersamaan ASEAN, skuad ASEAN All-Stars yang terdiri daripada pemain terbaik serantau bakal memberi saingan kepada pasukan kendalian Ruben Amorim dalam perlawanan itu.

Maybank Challenge Cup 2025 dijadual berlangsung pada 28 Mei ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, dengan tiket yang masih boleh didapati menerusi laman rasmi www.myticketempire.com/manumy.